11/12/2020
*KENYATAAN MEDIA - KETUA ARMADA NASIONAL*
*MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT, UNTUNGKAN RAKYAT*
Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas muafakat yang dicapai hasil semangat musyawarah yang ditunjukkan oleh pimpinan tertinggi negara demi kepentingan rakyat Perak.
Walaupun apa sekalipun isu yang timbul, BERSATU, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan UMNO berjaya mencari penyelesaian yang terbaik sehingga calon Menteri Besar Perak yang baharu berjaya dipersetujui, sekaligus menjamin kestabilan politik negeri dan negara.
Namun begitu, kami mengambil iktibar daripada pengalaman ini dan menegaskan bahawa perjuangan Melayu dan kaum pribumi lainnya memerlukan persefahaman yang lebih mendalam dan mengutamakan kesejahteraan rakyat.
Perpaduan kita tidak seharusnya digugat oleh pihak-pihak berkepentingan yang menimbulkan syak wasangka atau persengketaan yang merugikan semua pihak, malah mengganggu kesatuan ummah.
Ketika negara baru sahaja masuk ke fasa pemulihan, ARMADA menyeru semua pihak agar memberikan sepenuh tumpuan dan sokongan untuk membuka kembali ekonomi secara beransur-ansur selari dengan usaha membendung wabak Covid-19, menambah sumber pendapatan rakyat dan menjamin kebajikan mereka yang memerlukan.
Permainan politik yang sempit dan tidak membawa faedah kepada orang ramai harus diketepikan. Inilah satu-satunya keutamaan kami bersama-sama rakan-rakan dalam Pemuda Perikatan Nasional.
*Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal*
Ketua ARMADA Nasional
Parti Pribumi Bersatu Malaysia
09 Disember 2020