06/08/2026
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan mengakui beliau tidak selesa apabila isu pemulihan Tabung Haji pada 2018 dan 2019 dipolitikkan sehingga dikaitkan dengan sentimen perkauman.
Menurut beliau, ketika itu naratif yang dimainkan adalah kononnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) “menggadaikan” Tabung Haji susulan pemindahan aset kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB).
Shahril berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila isu itu turut dikaitkan dengan identiti kaum kerana Menteri Kewangan ketika itu serta individu yang menerajui UJSB adalah berbangsa Cina.
“Saya sangat tak selesa apa yang berlaku pada 2018, 2019, di mana retorika dan naratifnya adalah bantai Pakatan Harapan sebab seolah-olah menggadaikan Tabung Haji semata-mata kerana pemindahan aset itu kepada UJSB.
“Kebetulan Menteri Kewangan ketika itu orang Cina dan UJSB juga diterajui oleh orang Cina. Itulah yang dijadikan modal,” katanya dalam podcast Keluar Sekejap.
Beliau berkata, ketika itu tidak banyak suara dalam UMNO yang menunjukkan keinsafan terhadap cara isu berkenaan dimainkan, malah beliau sendiri mengakui tidak mampu bersuara secara terbuka.
“Saya sangat tak minat. Saya harap pada tahun 2026, sudah tiba masanya ada suara yang menunjukkan kepada rakyat bahawa ada perkara yang kita boleh belajar dan bukannya UMNO itu sempurna,” katanya.