02/09/2026
DUA LRA BAHARU TINGKATKAN BEKALAN AIR KAWASAN INDUSTRI UTAMA - SANUSI
Oleh: Roslinda Hashim
KUALA KETIL - Dua Loji Rawatan Air (LRA) baharu berkapasiti keseluruhan 350 juta liter sehari (MLD) akan dibangunkan bagi meningkatkan keupayaan bekalan air, khususnya untuk menyokong pertumbuhan kawasan industri dan pembangunan baharu di Kedah.
Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kedua-dua projek berkenaan membabitkan LRA Sidam Kiri Fasa 1 berkapasiti 200 MLD dan LRA Sungai Karangan Fasa 1 berkapasiti 150 MLD.
Katanya, apabila siap kelak, kedua-dua LRA tersebut dijangka memberi manfaat kepada kawasan pertumbuhan utama termasuk Kulim Industrial Corridor (KIC), Kulim Hi-Tech Park (KHTP), Padang Serai, Padang Meha, kawasan pembangunan Kulim International Airport (KXP) serta Sidam Logistics, Aerospace and Manufacturing (SLAM).
“Air adalah satu keperluan asas. Dalam konteks pembangunan sesebuah negeri, air merupakan sebahagian daripada infrastruktur yang menentukan sejauh mana sesebuah kawasan mampu berkembang.
“Kita boleh membawa masuk pelaburan bernilai berbilion ringgit, membina kawasan industri, perumahan, pusat komersial dan pelbagai projek pembangunan, tetapi kesemuanya memerlukan utiliti asas yang mencukupi dan stabil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Pembangunan Solar Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di LRA Kuala Ketil, di sini, hari ini.
Menurut Sanusi yang juga Pengerusi SADA, beberapa projek utama sedang dalam proses pembinaan, manakala sebahagian lagi telah siap, antaranya Projek Naik Taraf LRA Pelubang, LRA Jenun Baru, LRA Lubuk Buntar Lama, LRA Jeniang Baru serta LRA Kompak Kulim Hi-Tech.
Katanya, projek-projek berkenaan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan sistem bekalan air untuk memenuhi keperluan penduduk selain menyokong pertumbuhan pembangunan negeri.
Tambah beliau, peningkatan kapasiti rawatan air perlu disusuli usaha meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga bagi memastikan kos operasi dapat dikawal.
“Apabila kita menambah kapasiti rawatan air, kita juga perlu memahami bahawa penggunaan tenaga akan turut meningkat.
“Jadi kita bukan sahaja perlu memikirkan bagaimana hendak menghasilkan lebih banyak air, tetapi bagaimana hendak mengoperasikan sistem dengan lebih cekap,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, SADA mengambil inisiatif memperkenalkan penggunaan tenaga solar di tiga LRA menerusi projek pembangunan solar Fasa Satu melibatkan LRA Kuala Ketil Baru, LRA Kuala Ketil Lama dan LRA Sungai Ular, yang dijangka menjimatkan kira-kira RM555,000 kos operasi SADA setahun.
Sanusi turut menegaskan keperluan supaya pembangunan infrastruktur bekalan air dirancang seiring dengan pembangunan sesuatu kawasan dan tidak hanya dibina selepas penduduk atau industri mula beroperasi.
Katanya, isu kecukupan bekalan air juga sering dibangkitkan dalam mesyuarat di peringkat Persekutuan ketika pelan pembangunan negeri dibincangkan.
“Apabila membincangkan pelan pembangunan negeri yang dicadangkan untuk diluluskan, nombor satu ialah bekalan air. Semua negeri sebut perkara yang sama.
“Saya jawab, bagi dulu, selepas itu kita akan buat. Air mentah kita ada. Dulu LRA tak ada. Bila ada orang duduk, ada industri, kawasan berkembang, kita bina LRA. Sepatutnya buat serentak, bukan buat LRA dulu, tunggu ada penduduk.
“Bila ada penduduk, ada pembangunan, LRA akan dibina,” katanya.
https://www.kedahonline.com/2026/09/dua-lra-baharu-tingkatkan-bekalan-air.html