28/08/2026
YB Tuan Haji Akmal Nasrullah bin Haji Mohd Nasir, Menteri Ekonomi, hari ini mengadakan lawatan kerja rasmi ke Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin – Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP), diiringi YBhg. Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan, Ketua Eksekutif NCIA, bagi meninjau perkembangan operasi serta peranan PIP dalam memperkukuh rangkaian logistik dan perdagangan rentas sempadan di Koridor Utara.
Sejak beroperasi sepenuhnya pada April 2026, PIP telah merekodkan 100,000 TEU dalam tempoh kira-kira empat setengah bulan. Perkembangan ini mencerminkan potensi PIP sebagai hab logistik darat yang menghubungkan aktiviti perdagangan dengan rangkaian pengangkutan dan kawasan perindustrian di sekitarnya. Pembangunan PIP dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta (Public-Private Partnership), dengan Mutiara Perlis bertindak sebagai pemaju dan pengendali, manakala Kerajaan Persekutuan menyalurkan RM327 juta dana infrastruktur melalui NCIA bagi pembinaan bonded road, flyover serta railway spur line.
Lebih penting, pembangunan PIP turut membuka ruang kepada penglibatan dan peluang ekonomi untuk masyarakat setempat. Sebanyak 63% kontraktor perkhidmatan terdiri daripada anak Perlis dan Kedah, dengan 40% merupakan anak Perlis, memastikan manfaat pembangunan ini turut dirasai di peringkat tempatan. Dengan kedudukannya yang strategik di sempadan Malaysia–Thailand, PIP berpotensi memperkukuh Perlis sebagai hab logistik dan pengangkutan, di samping menyokong pertumbuhan industri, perdagangan dan ekonomi di NCER serta negara.