09/07/2026
UUM HIMPUNKAN PAKAR UNIVERSITI AWAM PERKASA GARIS PANDUAN PENGURUSAN KESIHATAN MENTAL
SINTOK, 7 Julai 2026 – Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti (PKKU) yang diketuai oleh Pengarah, Dr. Adi Azhar bin Abdul Razak, dengan kerjasama Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM) melalui Sekretariatnya yang diketuai oleh Dr. Nik Mohd Shafikudin bin Md Taujuddin, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), telah menganjurkan Bengkel Garis Panduan dan Pengurusan Kesihatan Mental MAKESUM Tahun 2026 di EDC Hotel, UUM pada 6 hingga 7 Julai 2026.
Bengkel selama dua hari itu menghimpunkan 41 orang peserta daripada universiti awam seluruh negara yang terdiri daripada wakil Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan Universiti, Majlis Kesihatan Universiti Awam Malaysia (MAKESUM), Majlis Kaunseling Universiti Awam (MAKUMA) serta Jawatankuasa Pegawai Psikologi Staf Universiti Awam (JKPPsiKUA). Bengkel ini turut dilaksanakan sebagai usaha menyokong hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) untuk memperkukuhkan pengurusan dan kesejahteraan kesihatan mental dalam kalangan warga universiti awam melalui pembangunan satu garis panduan yang komprehensif dan boleh dijadikan rujukan bersama.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang Berusaha En. Muzamil bin Mahmud, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM, yang hadir mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), UUM, Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri. Dalam majlis tersebut, beliau telah membacakan teks ucapan perasmian Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Prof. Madya Dr. Bakti Hasan Basri menegaskan bahawa kesihatan mental kini merupakan antara agenda penting universiti yang memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak. Menurut beliau, pengurusan kesihatan mental tidak lagi boleh dipikul oleh pusat kesihatan atau kaunselor semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan kepimpinan universiti, ahli akademik, pentadbir, pegawai kesihatan, kaunselor, pelajar dan seluruh warga kampus. Beliau turut berharap bengkel ini menjadi platform terbaik untuk berkongsi amalan terbaik serta menghasilkan garis panduan yang praktikal dan mampu dilaksanakan secara konsisten di semua universiti awam.
Menurut Pengarah PKKU UUM, Dr. Adi Azhar bin Abdul Razak, penganjuran bengkel ini bertepatan dengan peningkatan isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan staf universiti yang memerlukan satu pendekatan pengurusan yang lebih komprehensif, sistematik dan selaras di seluruh universiti awam. Bengkel ini merupakan platform penting bagi menghimpunkan kepakaran daripada pelbagai universiti awam untuk membangunkan garis panduan yang lebih holistik, sekali gus menyokong agenda Kementerian Pendidikan Tinggi dalam memperkukuh kesejahteraan mental warga kampus.
Sepanjang bengkel berlangsung, sesi dimulakan dengan pembentangan Program Siswa Sihat oleh Puan Noor Haziqah binti Hazlan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Seterusnya sesi ceramah bertajuk Mental Health Challenges yang disampaikan oleh Dr. Yusmarhaini binti Yusof, Pensyarah Pusat Pengajian, Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), UUM. Sesi 3 p**a menampilkan Puan Fazielah binti Mohamad, Pendaftar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) merangkap Pengerusi JKPPsiKUA, yang menyampaikan ceramah bertajuk “Imbangan Wajar Pekerjaan-Kehidupan: Kepimpinan dan Peranannya Terhadap Kesejahteraan Pekerja”. Program kemudiannya diteruskan dengan sesi perbincangan kump**an, pembentangan hasil perbincangan dan sesi penggulungan bagi memuktamadkan cadangan garis panduan pengurusan kesihatan mental universiti awam.
Rata-rata peserta berharap garis panduan yang dihasilkan akan menjadi rujukan utama kepada semua universiti awam dalam mengurus isu kesihatan mental secara lebih berkesan. Mereka turut berharap kerjasama erat antara MAKESUM, MAKUMA, JKPPsiKUA dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dapat diteruskan bagi memperkasakan kesejahteraan mental warga kampus.
Selain sesi ilmiah, peserta turut dibawa mengikuti eksplorasi kampus Universiti Utara Malaysia yang merangkumi lawatan ke beberapa lokasi ikonik termasuk Tapak Pokok Tiga Beradik, sekali gus memperkenalkan keunikan landskap kampus UUM kepada peserta dari seluruh negara.
Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan PKKU UUM, Sekretariat MAKESUM, MAKUMA dan JKPPsiKUA dalam memperkukuh jaringan kerjasama strategik ke arah melahirkan ekosistem kampus yang lebih sihat, selamat dan sejahtera, selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi untuk memperkukuh kesejahteraan mental warga institusi pendidikan tinggi.