11/08/2026
SIARAN MEDIA
UNTUK LIPUTAN MEDIA MASSA
KONTRAKTOR MAUT JATUH KE DALAM LUBANG SISTEM PENYEJUKAN
BANTING, 10 Ogos 2026 โ Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor telah menerima laporan kes kemalangan maut membabitkan seorang pekerja kontraktor tempatan berusia 34 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku pada 9 Ogos 2026, kira-kira jam 4.15 petang di sebuah premis penjanaan elektrik di Daerah Kuala Langat, Selangor. Mangsa bertugas sebagai juruteknik bersama lima orang rakan sekerja juruteknik dan seorang penyelia daripada syarikat kontraktor penyelenggaraan.
Siasatan awal mendapati, mangsa sedang menjalankan kerja-kerja membuka dan memasang struktur kayu di menara penyejuk secara manual. Kejadian disedari oleh rakan sekerja selepas mendapati mangsa tidak berada di lokasi terakhir beliau bertugas. Pencarian awal di kawasan sekitar hanya menemui topi keselamatan milik mangsa di dalam lubang saringan. Susulan penemuan itu, penggera kecemasan telah diaktifkan serta-merta untuk mengumpulkan semua pekerja yang berada di dalam premis. Pengiraan bilangan pekerja, mendapati seorang pekerja (mangsa) tiada dan pihak pengawal keselamatan memaklumkan bahawa mangsa tidak keluar dari premis tersebut.
Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) premis bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melancarkan operasi pencarian. Mangsa akhirnya dijumpai di dasar kolam takungan utama berisi air yang dianggarkan berkedalaman 20 meter pada jam 3.53 pagi keesokan hari, 10 Ogos 2026 dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat lemas.
Hasil siasatan pasukan Pegawai Penyiasat dari JKKP Selangor di lokasi kejadian tidak menolak kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam lubang laluan air menara penyejuk sewaktu bekerja sebelum dihanyutkan ke kolam takungan.Berdasarkan keterangan saksi, mangsa didapati tidak memakai kelengkapan abah-abah keselamatan dan tiada penyeliaan mencukupi semasa aktiviti tersebut dijalankan. Berikutan penemuan tersebut, JKKP Selangor telah mengeluarkan notis larangan akibat kegagalan mengadakan penyeliaan mencukupi dan prosedur kerja selamat bagi aktiviti penyelenggaraan struktur menara penyejuk.
Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang mewajibkan majikan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja semasa bekerja. Mana-mana majikan yang didapati melanggar peruntukan akta ini boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk denda maksimum RM500,000.00 sekiranya disabitkan kesalahan.
JKKP Selangor memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerjaterutamanya yang melibatkan kematian. Majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja, menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan yang sewajarnya sebelum kerja dimulakan. Kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya majikan mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan bagi aktiviti kerja yang dirancang.
# # #
Dikeluarkan oleh:
Pejabat Pengarah
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor
Kementerian Sumber Manusia
10 Ogos 2026