09/06/2026
MAJLIS AMANAT DAN PENYERAHAN JERSI PASUKAN BOLA JARING IPD TAIPING DISEMPURNAKAN OLEH TIMBALAN KETUA POLIS DAERAH TAIPING
Taiping, 9 Jun 2026 – Semangat juang dan iltizam untuk mengharumkan nama pasukan terus diperkukuhkan apabila Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping mengadakan Majlis Amanat dan Penyerahan Jersi kepada Pasukan Bola Jaring IPD Taiping sebagai persediaan menghadapi kejohanan yang bakal berlangsung.
Majlis yang berlangsung di Lobi IPD Taiping telah disempurnakan oleh YDH Supt Mohd Ariffridzuan bin Ezahar, Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping. Turut hadir ialah DSP Sangkar a/l Segaran, Ketua Bahagian Pengurusan Daerah, Ketua-Ketua Bahagian, Ketua-Ketua Polis Balai serta barisan pemain dan pegawai pengurusan Pasukan Bola Jaring IPD Taiping.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengurus Pasukan, ASP Rosmaria binti Awang, sebelum diteruskan dengan amanat penuh inspirasi oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping. Dalam amanat beliau, para pemain diseru agar sentiasa mengekalkan disiplin yang tinggi, semangat berpasukan yang utuh serta azam yang tidak pernah luntur dalam memburu kecemerlangan dan kejayaan.
Kemuncak majlis menyaksikan upacara simbolik penyerahan jersi pasukan sebagai lambang kepercayaan, penghormatan dan harapan tinggi pucuk pimpinan terhadap kemampuan para pemain untuk memberikan saingan terbaik. Majlis turut disusuli dengan sesi pelepasan pasukan sebagai tanda sokongan padu serta restu daripada seluruh warga IPD Taiping.
Penganjuran program ini bukan sahaja menjadi platform untuk menyuntik semangat dan motivasi, malah membuktikan komitmen berterusan IPD Taiping dalam menyokong pembangunan sukan serta memperkukuhkan nilai kepimpinan, kerjasama dan daya saing dalam kalangan warga pasukan.
Semoga Pasukan Bola Jaring IPD Taiping terus melangkah dengan penuh keyakinan, mempamerkan aksi terbaik di gelanggang dan seterusnya melakar kejayaan gemilang demi mengharumkan nama IPD Taiping serta Polis Diraja Malaysia.
"Bertanding Dengan Semangat, Berjuang Dengan Maruah, Pulang Dengan Kejayaan."