07/08/2026
06 OGOS 2026 | KHAMIS
LAWATAN PEGAWAI BAHAGIAN PENGURUSAN BIODIVERSITI DAN PERHUTANAN, KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN KELESTARIAN ALAM (NRES) KE TAMAN EKO PELAJARAN HUTAN PAYA LAUT MATANG, TAIPING, PERAK
Susulan daripada pembentangan penganjuran Sambutan Hari Konservasi Hutan Paya Laut (HPL) Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 yang telah diadakan pada 30 Julai 2026 di Bilik Mesyuarat SPB, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), telah dipersetujui agar satu sesi taklimat serta pendedahan mengenai ekosistem Hutan Paya Laut Matang diadakan kepada pegawai Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan (BPBP), NRES. Sehubungan itu, program taklimat dan lawatan telah dilaksanakan pada 5 hingga 7 Ogos 2026 di Taman Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Taiping, Perak.
Delegasi lawatan diketuai oleh Tuan S. Siva Kumar, Setiausaha Bahagian, bersama Puan Shairunniza binti Sarkawi, Ketua Penolong Setiausaha serta lima orang pegawai daripada Bahagian Pengurusan Biodiversiti dan Perhutanan, NRES.
Turut hadir ialah wakil daripada Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia iaitu YBhg. Dato’ Samsu Anuar bin Nawi, Pengarah Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan bersama tiga orang pegawai. Jabatan Perhutanan Negeri Perak p**a diwakili oleh Tuan Azni Rahman bin A. Wahid, Timbalan Pengarah (Pembangunan) serta En. Edevaldo J. Yapp, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Silvikultur dan Kepelbagaian Biologi.
Pada sebelah pagi, delegasi telah bersama-sama menyempurnakan Program CEPA Penanaman 300 pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) di sebahagian Kompartmen 29, Hutan Simpan Jebong bersama wakil Persatuan Kayu Arang Kuala Sepetang sebagai simbol komitmen terhadap pemuliharaan dan kelestarian ekosistem hutan paya laut.
Seterusnya, delegasi menaiki bot menuju ke Kompartmen 9, Hutan Simpan Pulau Kalumpang, iaitu kawasan Lesen Pengusahasilan Hutan (KUP), bagi meninjau secara lebih dekat aktiviti pengusahasilan kayu bakau secara lestari yang dikendalikan oleh Syarikat Sin Bee Seng & Co. Delegasi telah diberikan taklimat mengenai amalan pengurusan hutan secara mampan serta menyaksikan demonstrasi proses membuang kulit kayu sebelum dijadikan arang.
Lawatan diteruskan ke Kawasan HCV Arkeologi Pra Sejarah di Kompartmen 11, Hutan Simpan Pulau Kalumpang. Taklimat telah disampaikan oleh En. Mohd Firdaus bin Jamel, Pegawai Hutan Daerah Larut & Matang. Delegasi turut melawat tapak arkeologi serta melihat pokok Kalumpang Jari (Sterculia foetida), yang merupakan antara spesies ikonik di kawasan tersebut.
Selepas itu, delegasi kembali ke Taman Eko Pelajaran Hutan Paya Laut Matang, Kuala Sepetang bagi mengikuti sesi taklimat mengenai sejarah, pengurusan dan pembangunan Hutan Paya Laut Matang, diikuti tayangan video korporat serta jamuan makan tengah hari.
Sebagai penutup program, delegasi mengadakan lawatan ke My Charcoal Factory bagi melihat sendiri kaedah tradisional penghasilan arang kayu bakau yang telah diwarisi sejak sekian lama dan menjadi antara identiti utama Kuala Sepetang.
Lawatan ini berjaya memberikan pendedahan secara menyeluruh kepada para peserta mengenai amalan pengurusan lestari Hutan Paya Laut Matang yang mengimbangi aspek pemuliharaan biodiversiti, pengusahasilan hutan, warisan budaya serta pembangunan sosioekonomi komuniti setempat. Program berakhir pada sebelah petang dan delegasi bersurai.