04/11/2024
*Mesyuarat Agung Tri-Tahunan PBRS N.39 Tambunan 2024: Semangat Perjuangan yang Terus Berkobar dan Belum Terkubur*
*Tambunan, 3 November 2024* β Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Bahagian N.39 Tambunan baru-baru ini melakar satu lagi babak bersejarah dengan berlangsungnya Mesyuarat Agung Tri-Tahunan yang penuh semangat dan disulami tekad perjuangan yang tidak goyah. Mesyuarat ini menjadi platform bagi ahli-ahli parti untuk memperbaharui janji setia serta menyusun strategi demi mengukuhkan kekuatan PBRS dalam berhadapan dengan cabaran politik yang kian kompleks.
Meskipun pernah mengalami krisis apabila peletakan jawatan secara beramai-ramai ahli-ahli PBRS Tambunan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15, namun keutuhan parti tidak pernah terjejas. Dengan sokongan padu dan kesetiaan ahli-ahli yang masih teguh berjuang demi parti, PBRS N.39 Tambunan terus bangkit dalam semangat juang yang utuh. Kini, dengan fasa pemulihan yang giat dijalankan, kepimpinan bahagian ini kembali kukuh di bawah barisan kepemimpinan yang baharu bagi sesi 2024-2027.
Dalam ucapan penggulungannya, Ketua Bahagian N.39 Tambunan yang baru dipilih, YBhg. Tuan Cyril Pauting Yansalang, menyuarakan komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi untuk PBRS. "Jatuh bangun, hidup mati saya bersama PBRS," tegas beliau, menzahirkan iltizam untuk berkhidmat tanpa mengira ranjau dan onak yang bakal ditempuhi. Beliau turut menegaskan bahawa seluruh Jawatankuasa PBRS Bahagian N.39 Tambunan dan ahli-ahli aktif di peringkat akar umbi tetap menumpahkan kesetiaan padu kepada institusi PBRS dan Barisan Nasional.
Majlis penuh bermakna ini disempurnakan oleh Naib Presiden II PBRS, YBhg. Tuan Vincent Lee, yang bertempat di Asrama Tongkungon, Kompleks Sukan Tambunan. Dalam ucapannya, beliau tidak terlepas memuji semangat juang ahli-ahli PBRS Tambunan yang tidak pernah luntur dalam mengangkat martabat rakyat dan memastikan perjuangan parti terus berkobar. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada kepimpinan baharu PBRS N.39 Tambunan bagi sesi 2024-2027 dan menzahirkan harapan agar setiap jawatankuasa bahagian memainkan peranan yang lebih progresif dalam memastikan kemajuan dan kesejahteraan bahagian ini.
βPBRS N.39 Tambunan memiliki kelebihan tersendiri melalui kepelbagaian latar belakang dan semangat yang tidak kenal erti putus asa,β ujar Tuan Vincent Lee, yang turut berasa terharu melihat keakraban dan dedikasi ahli-ahli parti dalam meneruskan perjuangan PBRS dengan penuh semangat.
Dengan barisan kepimpinan baharu yang dipacu oleh keteguhan prinsip dan keberanian meneruskan legasi, PBRS N.39 Tambunan bakal melangkah lebih jauh, mengharungi cabaran demi memperkukuhkan kedudukan PBRS dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sabah, khususnya di Tambunan. Mesyuarat Agung Tri-Tahunan ini telah membuktikan bahawa semangat perjuangan dalam kalangan ahli PBRS N.39 Tambunan tidak pernah luntur, malah semakin menyala demi masa depan parti dan negeri tercinta.
Majlis diakhiri dengan penyerahan sumbangan ikhlas barangan dapur daripada Ketua Bahagian N.39 tambunan kepada 5 orang penerima yang terpilih.
β Tamat β