13/08/2026
TAMBUNAN, 11 Ogos 2026 — Pelantikan saudara Suhaili Laiman sebagai Ahli Majlis Daerah Tambunan merupakan satu bentuk kepercayaan kepada golongan anak muda untuk turut memainkan peranan dalam membentuk dasar, perancangan serta hala tuju pentadbiran Daerah Tambunan.
Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis telah berlangsung pada 11 Ogos 2026 bertempat di Dewan Koningau, Majlis Daerah Keningau dan disempurnakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, YB Datuk Dr. Haji Mohd Arifin bin Datuk Haji Mohd Arif. Turut YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffery G. Kitingan, Pengerusi Lembaga Pemasaran Sabah (SAMA) merangkap Ahli Parlimen P.180 Keningau dan ADU N.39 Tambunan.
Pelantikan ini dilihat sebagai satu langkah positif dalam memperkukuhkan penyertaan anak muda dalam pentadbiran kerajaan tempatan, khususnya dalam menyuarakan pandangan, aspirasi dan keperluan generasi muda di peringkat daerah.
Sebagai sebuah daerah yang terus berkembang, Tambunan memerlukan penglibatan pelbagai lapisan masyarakat dalam proses perancangan dan pembangunan. Penyertaan golongan muda dalam Majlis Daerah bukan sahaja dapat membawa perspektif baharu, malah berpotensi memperkukuhkan pendekatan yang lebih progresif, inklusif dan responsif terhadap isu semasa.
Penglibatan anak muda juga penting dalam memastikan aspek seperti peluang ekonomi, pembangunan belia, keusahawanan, pelancongan, kemudahan awam, teknologi, alam sekitar serta pembangunan komuniti diberikan perhatian yang sewajarnya dalam agenda pembangunan daerah.
Pelantikan Suhaili turut membuka ruang untuk golongan muda menjadi sebahagian daripada proses membuat keputusan di peringkat tempatan, bukan sekadar sebagai penerima manfaat pembangunan, tetapi sebagai rakan strategik dalam merancang masa depan daerah.
Dengan pengalaman dan latar belakang dalam bidang perancangan bandar serta penglibatan dalam pembangunan belia dan komuniti, Suhaili diharapkan dapat memberikan sumbangan melalui pandangan yang berasaskan perancangan, pembangunan mampan dan kepentingan masyarakat setempat.
- Penerangan Wiramuda