12/08/2026
MDT TURUN PADANG PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA INDUSTRI MELALUI IPMC
12 Ogos 2026 | Bilik Latihan, VTech Communications (Malaysia) Sdn. Bhd.
Telah berlangsung Mesyuarat Industrial Park Management Committee (IPMC) yang dipengerusikan oleh En. Fakhruddin bin Shariff, Timbalan Pengerusi IPMC merangkap Setiausaha Majlis Daerah Tangkak, dengan penyertaan Timbalan Pengarah, Malaysian Investment Development Authority (MIDA), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Negeri Johor, wakil Invest Johor, wakil Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPEN), agensi kerajaan, jabatan teknikal serta sebahagian pengusaha industri di kawasan perindustrian Tanjung Agas.
Mesyuarat IPMC kali ini tampil dengan pendekatan yang berbeza apabila Majlis Daerah Tangkak (MDT) selaku penganjur turun padang dan membawa bersama jabatan serta agensi berkaitan untuk bertemu secara langsung dengan pihak industri, berbanding pendekatan sebelum ini yang dilaksanakan di pejabat MDT.
Pendekatan ini membolehkan pihak kerajaan dan agensi teknikal melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar pandangan serta memahami dengan lebih dekat keperluan dan cabaran yang dihadapi oleh pengusaha industri. Isu yang dibangkitkan dapat dikenal pasti dan diselaraskan mengikut bidang kuasa masing-masing, sebelum dipanjangkan kepada pihak berkaitan atau peringkat lebih tinggi sekiranya memerlukan tindakan dan keputusan lanjut.
Pendekatan turun padang ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor untuk memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif serta memastikan keperluan dan kepentingan pemain industri diberi perhatian secara langsung dan berterusan.
Dalam mesyuarat yang sama, Pegawai Perancang Bandar dan Desa, TPr Zulkifli bin Sabree, turut menyampaikan taklimat berkaitan pelaksanaan Johor Fast Lane MDT 2.0 serta Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (Centralised Labour Quarters โ CLQ) dan Prosedur Permohonan bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek (Temporary Labour Quarters โ TLQ) di Kawasan Pentadbiran Majlis Daerah Tangkak.
Taklimat tersebut memberi pendedahan dan penjelasan kepada pihak industri serta agensi berkaitan mengenai proses, keperluan dan hala tuju pembangunan, khususnya dalam aspek kemudahan industri dan pengurusan penempatan pekerja.
IPMC terus menjadi platform penting dalam memperkukuhkan kerjasama strategik antara PBT, kerajaan, agensi teknikal dan pihak industri, bukan sahaja untuk mengenal pasti isu, malah memastikan tindakan susulan dapat diselaraskan dan dipantau sehingga penyelesaian dicapai.
Pentadbiran Majlis Daerah Tangkak merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada VTech Communications (Malaysia) Sdn. Bhd. atas kesudian menyediakan tempat serta layanan baik sepanjang mesyuarat berlangsung.