17/07/2026
PROGRAM MEET & GREET ERATKAN HUBUNGAN PDRM DAN KOMUNITI DI MASJID AT-TUQO, SG SIREH
Tanjong Karang | 26 Jun 2026
Dalam usaha memperkukuhkan hubungan silaturahim antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat, Balai Polis Tanjong Karang telah menganjurkan Program Meet & Greet bersama pihak pengurusan serta ahli qariah Masjid At-Tuqo, Sungai Sireh, Tanjong Karang.
Program tersebut diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Balai (T/KPB) Balai Polis Tanjong Karang, Sjn Mohd Nizan Bin Jaapar, bersama anggota Balai Polis Tanjong Karang dan disambut oleh Nazir Masjid, Hj Mohd Arshad bin Sabli, serta barisan Ahli Jawatankuasa Masjid.
Sepanjang program berlangsung, pihak PDRM telah berkongsi maklumat berkaitan langkah-langkah pencegahan jenayah, khususnya jenayah kecurian motosikal yang masih menjadi antara kes jenayah harta benda yang kerap dilaporkan. Ahli qariah turut dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan langkah-langkah keselamatan seperti menggunakan kunci tambahan, meletakkan motosikal di kawasan yang selamat dan terang, memasang sistem penggera atau peranti pengesanan GPS serta memastikan kunci motosikal tidak ditinggalkan pada kenderaan walaupun untuk tempoh yang singkat.
Selain penyampaian taklimat, program ini turut menjadi platform untuk bertukar pandangan serta mengeratkan kerjasama antara pihak polis dan komuniti setempat dalam menangani isu keselamatan dan jenayah di kawasan Tanjong Karang.
Program berakhir dengan jayanya hasil kerjasama yang amat baik daripada pihak pengurusan masjid dan ahli qariah. Diharapkan jalinan kerjasama seperti ini akan terus diperkasakan demi mewujudkan masyarakat yang lebih peka terhadap aspek keselamatan serta bersama-sama membantu usaha PDRM dalam mencegah jenayah.
“Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.”