21/08/2026
PROGRAM HPP SOLAT JUMAAT DAN JELAJAH 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG BERSAMA MASYARAKAT KG. BATU MELINTANG, TAPAH, PERAK
TAPAH, 21 Ogos 2026, Jumaat – Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah telah melaksanakan Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat dan Program Jelajah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang bersama masyarakat Kampung Batu Melintang, Tapah, Perak.
Program yang berlangsung di Masjid Jamek Ar-Rahmaniah, Kampung Batu Melintang, Tapah ini turut dihadiri YDH Supt. Abdul Malik bin Hasim, Ketua Polis Daerah Tapah, YDH DSP Ab. Malek bin Mohamed Monir, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Bidor, ASP Ahmad Hamzah bin Kasdi, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, IPD Tapah serta pegawai dan anggota PDRM.
Turut hadir ialah YBrs. Tuan Ahmad Redhauddin bin Ahmad Shokori, Pegawai Daerah Batang Padang, YBhg. Puan Siti Asmah binti Mat Ali, Pegawai Penerangan Daerah Batang Padang, Tn. Haji Ghazali bin Haji Zainal Abidin, Pengerusi Masjid Jamek Ar-Rahmaniah, En. Abdul Rahman bin Haji Umar, Pengerusi JPKK Kampung Batu Melintang serta ketua dan wakil jabatan, agensi kerajaan dan swasta, penghulu mukim, ahli jawatankuasa masjid dan orang awam.
Program Jelajah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan alu-aluan oleh Pegawai Daerah Batang Padang. Turut diadakan penyampaian cenderahati serta Jalur Gemilang kepada Pengerusi Masjid Jamek Ar-Rahmaniah dan wakil jabatan serta agensi kerajaan Daerah Batang Padang.
Dalam masa yang sama, Program HPP Solat Jumaat memberi penekanan terhadap aspek pencegahan jenayah dan keselamatan komuniti. Taklimat ringkas sebelum solat Jumaat telah disampaikan oleh Insp. Azri bin Azmi, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (KBSJKD) Tapah, berkaitan langkah-langkah yang perlu diambil oleh masyarakat bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah penipuan atau scam.
Konsep omnipresence turut dilaksanakan sepanjang program sebagai usaha meningkatkan kehadiran dan keterlihatan polis dalam kalangan masyarakat. Selain itu, risalah-risalah pencegahan jenayah turut diedarkan kepada para jemaah yang hadir.
Program ini bertujuan memupuk semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara melalui penghayatan Bulan Kebangsaan serta pengibaran Jalur Gemilang. Ia juga menjadi medium untuk menggalakkan penglibatan masyarakat dalam Program Jelajah 1 Rumah 1 Jalur Gemilang, di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara warga PDRM IPD Tapah dengan masyarakat setempat.
Selain itu, program berkenaan turut memberi penekanan kepada peranan masyarakat sebagai mata dan telinga PDRM dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan keselamatan dan pencegahan jenayah kepada pihak polis.
Secara keseluruhannya, program telah berlangsung dalam suasana harmoni, teratur dan lancar serta mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.