23/07/2026
KOTA KINABALU, 23 Julai – Dakwaan bahawa ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Haji Hazem Mubarak Musa Tun Musa, telah dimanipulasi sehingga mencetuskan polemik di media sosial menjadi perhatian apabila transkrip penuh ucapannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah didedahkan bagi menjelaskan konteks sebenar.
Menurut penulis jalanan dan penceramah bebas, Dr. Azihal Bangsawan, kenyataan yang tular di media sosial didakwa tidak menggambarkan ucapan sebenar Hazem ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2026 pada sidang DUN Sabah, Selasa lalu.
Beliau mendakwa satu poster yang dikongsikan di media sosial memetik kenyataan berbunyi:
“Sabah tidak perlu menjadi Sarawak untuk berjaya. Sabah perlu menjadi Sabah yang maju dengan kekuatan dan acuan kita sendiri.”
Bagaimanapun, menurut transkrip rasmi ucapan Hazem, kenyataan sebenar ialah:
“Ramai yang berkata bahawa Sabah wajar mencontohi Sarawak untuk mencapai kemajuan dan pembangunan, saya bersetuju dengan saranan ini tetapi biarlah pembangunan dan kemajuan itu kita laksanakan mengikut cara kita sendiri.”
Dr. Azihal berkata, terdapat perbezaan ketara antara kenyataan yang tular dengan ucapan asal sehingga menimbulkan pelbagai reaksi negatif terhadap Hazem.
Beliau turut mendakwa penyebaran kenyataan yang didakwa dimanipulasi itu telah mengundang pelbagai komen termasuk serangan terhadap peribadi Ahli Dewan Undangan Negeri berkenaan serta keluarganya.
Dalam ucapan penuh sepanjang kira-kira 10 minit itu, Hazem antara lain menyatakan keyakinannya terhadap komitmen kerajaan negeri dalam membawa pembangunan dan kesejahteraan rakyat melalui peruntukan tambahan sebanyak RM1.62 bilion.
Beliau turut membangkitkan beberapa isu berkaitan DUN Sungai Manila, termasuk cadangan menghidupkan semula aktiviti perdagangan barter (barter trade) di Sandakan, usaha memperkukuh sektor pertanian dan perikanan, serta masalah infrastruktur asas seperti lampu jalan, sistem perparitan, jalan raya dan bekalan air.
Hazem juga meminta kementerian berkaitan mempercepatkan tindakan terhadap lampu jalan yang rosak serta penyelenggaraan parit bagi mengelakkan risiko kemalangan dan banjir.
Dalam masa sama, Dr. Azihal memuji kepimpinan Hazem yang menurutnya sering turun padang dan memberi perhatian terhadap isu rakyat, termasuk membantu menyelesaikan masalah banjir di institusi pendidikan yang diasaskannya di Sungai Manila.
Mengulas isu yang tular, beliau berpandangan pihak yang menyebarkan poster berkenaan sewajarnya menyemak fakta terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kesimpulan.
Beliau turut menggesa semua pihak agar mengamalkan budaya semakan fakta bagi mengelakkan penyebaran maklumat yang boleh mengelirukan masyarakat serta mencetuskan salah faham terhadap kenyataan wakil rakyat.
Sementara itu, beliau turut menyifatkan suasana persidangan DUN Sabah sebagai profesional apabila wakil kerajaan dan pembangkang tetap menjalin hubungan baik serta bekerjasama dalam membincangkan isu demi kepentingan rakyat Sabah.
Mesyuarat Kedua Penggal Kedua DUN Sabah Ke-17 yang berlangsung minggu ini berakhir hari ini, Khamis.