07/08/2026
LAPORAN PERBICARAAN DI MAHKAMAH EXESSCOM (4-7 OGOS 2026)
PENGENALAN
-----------------
Perbicaraan kes kami, yang melibatkan bekas anggota ESSCOM, telah berlangsung dari 4 hingga 7 Ogos 2026 dan dibicarakan pada hari yang sama bersama tiga lagi kes lain yang mempunyai defendan serta isu yang hampir sama.
Walaupun difailkan sebagai kes yang berlainan kerana perbezaan tarikh pemfailan dan pasukan guaman, kami merupakan bekas anggota ESSCOM yang pernah dituduh membunuh seorang pemandu E-HEALING pada 25 Januari 2023 dan kemudiannya dibebaskan pada 25 Januari 2024.
Sebagai plaintif, kami amat berpuas hati dengan perjalanan perbicaraan sepanjang empat hari ini, khususnya dengan keberanian dan keterangan para saksi yang tampil di mahkamah.
SAKSI-SAKSI
-----------------
Pihak plaintif telah memanggil lima orang saksi, terdiri daripada seorang banduan penjara, tiga pegawai/anggota polis dan seorang saksi bebas.
Setelah kelima-lima saksi selesai memberikan keterangan, kami berasa amat lega dan terharu kerana beberapa isu penting telah berjaya ditimbulkan di mahkamah, termasuk dakwaan bahawa terdapat saksi yang didera, dipaksa atau ditawarkan sesuatu bagi mengaitkan kami dengan jenayah yang tidak pernah kami lakukan.
Lebih penting, keterangan saksi turut menimbulkan isu bahawa pihak polis didakwa telah mempunyai maklumat mengenai identiti pembunuh sebenar ketika kami masih direman dan berada dalam tahanan penjara. Perkara ini, pada pandangan kami, merupakan isu material yang wajar dinilai oleh Mahkamah berdasarkan keseluruhan keterangan dan bukti.
Kami amat menghargai keberanian semua saksi yang sanggup mengambil risiko untuk tampil memberikan keterangan secara terbuka demi kebenaran dan keadilan.
PASUKAN GUAMAN
-------------------------
Kami turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan guaman daripada Messrs Lincon & Co (089-668 068) yang diwakili oleh Masyaroh John Ridwan Lincon, Zahbia Ophent, Rasrina Patrick T. Rining dan Fadzidahtul Ardianah.
Walaupun kesemuanya wanita, mereka menunjukkan komitmen, ketegasan, keberanian dan semangat yang luar biasa dalam memperjuangkan keadilan untuk kami. Kami menganggap mereka sebagai “Iron Ladies” yang tegas dan tidak mudah gentar. Benarlah seperti pepatah "WANITA TIDAK PERNAH SALAH".
HARAPAN KAMI
-------------------
Perbicaraan masih berbaki 25 hari dan akan bersambung pada 21 hingga 25 September 2026. Pada sesi akan datang, beberapa saksi penting akan tampil dan kami menjangkakan lebih banyak isu akan dibawa ke hadapan Mahkamah.
Kami berharap media utama dan media sosial akan terus mengikuti perjalanan kes ini secara dekat dan bertanggungjawab.
Akhir sekali, kami berharap kes ini akan diadili dengan seadil-adilnya berdasarkan fakta, keterangan dan bukti yang dikemukakan, agar apa yang berlaku kepada kami tidak berulang kepada mana-mana individu lain pada masa hadapan.
Terima kasih kepada semua saksi, pasukan guaman, keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang terus memberikan sokongan kepada kami.
Kebenaran mungkin mengambil masa, tetapi kami akan terus berdiri demi keadilan.
Jumpa lagi pada 21-25 Sept 2026
~Niko ECM~