10/08/2026
196 INDIVIDU DITAHAN, 66 POSITIF DI KAWASAN FELDA DALAM OPS CEGAH KHAS AADK NEGERI PAHANG
KUANTAN, 7 Ogos 2026 — AADK Negeri Pahang terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dadah dan bahan di seluruh negeri dengan memberi tumpuan khusus kepada kawasan FELDA serta perkampungan Orang Asli dalam Ops Cegah Khas yang dijalankan 4 hingga 7 ogos 2026.
Dalam operasi berkenaan, seramai 196 individu telah ditahan, dengan 145 orang (75.9 peratus) dikesan positif Methamphetamine, diikuti Opiat 36 orang (14.85 peratus), Opiat/Meth enam orang (3.1 peratus), G***a empat orang (2.0 peratus) dan Meth/G***a seorang (0.52 peratus).
Daripada keseluruhan tangkapan, 23 individu merupakan kes gagal hadir jamin, iaitu mereka yang pernah ditahan AADK sebelum ini tetapi gagal mematuhi arahan untuk hadir pada tarikh yang ditetapkan bagi tindakan selanjutnya. Dua daerah mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi iaitu Kuantan dengan 67 orang, diikuti Rompin sebanyak 28 orang.
AADK Pahang turut memberi fokus terhadap kawasan FELDA, selaras dengan kebimbangan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang terhadap gejala penyalahgunaan dadah dan bahan di tanah rancangan. Hasil operasi berterusan, seramai 66 individu didapati positif dadah melibatkan enam daerah. Selain itu, operasi kali keempat di kawasan perkampungan Orang Asli susulan aduan yang diterima berjaya membawa kepada penahanan 12 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan.
Dalam operasi sama, AADK Pahang turut mengesan dan menahan dua pasangan suami isteri serta adik-beradik yang dikenal pasti sebagai penagih baharu. Kesemua individu yang ditahan akan disiasat mengikut peruntukan undang-undang berkaitan, manakala aspek rawatan dan pemulihan turut diberi perhatian bagi membantu mereka kembali menjalani kehidupan yang lebih baik dan berfungsi dalam masyarakat.
AADK menyeru individu yang menghadapi masalah penyalahgunaan dadah dan bahan supaya tampil secara sukarela mendapatkan rawatan melalui Rawatan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) dan Rawatan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) yang dilaksanakan secara selamat, rahsia dan percuma. Orang ramai yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Bebas Tol AADK 1-800-22-AADK (2235) atau WhatsApp 019-626 2233.
AADK Pahang akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras penyalahgunaan dadah dan bahan demi mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bebas dadah.