22/08/2026
PROGRAM HPP – IMARAH MASJID BERSAMA KETUA POLIS DAERAH TUARAN
TUARAN, 21 Ogos 2026 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran telah melaksanakan Program High Profile Policing (HPP) – Imarah Masjid Bersama Ketua Polis Daerah Tuaran yang merangkumi pengisian kerohanian, kepolisan komuniti serta aktiviti pencegahan jenayah di Masjid Abu Hassan Ar Raudhah, Lok Batik, pada 20 dan 21 Ogos 2026.
Program yang berlangsung selama dua hari ini melibatkan Ketua Polis Daerah Tuaran, YDH Supt. Noraidin bin Ag. Maidin, bersama pegawai kanan, pegawai rendah polis dan anggota IPD Tuaran. Turut hadir Pengerusi Masjid Abu Hassan Ar Raudhah, Haji Mohd Jamal Abu Hassan, Ahli Jawatankuasa Masjid serta kira-kira 250 orang komuniti dan masyarakat setempat.
Pada 20 Ogos 2026, program dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah, diikuti bacaan Surah Yasin dan tahlil sempena malam Jumaat serta solat Isyak secara berjemaah bersama komuniti Kampung Lok Batik dan masyarakat setempat.
Pada 21 Ogos 2026, program diteruskan dengan pengisian kepolisan komuniti yang melibatkan pameran pencegahan jenayah dan AMANITA, sesi Hari Bertemu Pelanggan, ceramah pencegahan jenayah serta ceramah keselamatan dan peraturan jalan raya.
Masyarakat setempat turut diberikan penerangan berkaitan peranan AMANITA, pendaftaran Volunteer Smartphone Patrol (VSP) serta saluran aduan awam melalui kod QR. Inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis serta membantu memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.
Turut diadakan ceramah pencegahan jenayah yang disampaikan oleh Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah Tuaran, ASP Mansur bin Rahman, manakala ceramah keselamatan dan peraturan jalan raya disampaikan oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Tuaran, Insp. Rahman bin Remi. Ceramah berkaitan peranan AMANITA, pendaftaran VSP dan saluran aduan awam melalui kod QR p**a disampaikan oleh Ketua Cawangan Operasi Darat, Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Tuaran, SI Noorleha binti Taib.
Program kemudiannya diteruskan dengan solat Jumaat yang dipimpin oleh Ustaz Fairuzalusdi bin Mokhtar dari BAKA IPD Tuaran, manakala khutbah Jumaat disampaikan oleh Ketua Cawangan Khas IPD Tuaran, ASP Mohd Khairul Anuar bin Pak Dek.
Dalam majlis yang sama, Ketua Polis Daerah Tuaran turut menyampaikan cenderahati kepada Pengerusi Masjid Abu Hassan Ar Raudhah, Haji Mohd Jamal Abu Hassan, sebagai tanda penghargaan atas kerjasama dan sokongan pihak masjid dalam menjayakan program tersebut.
Program diakhiri dengan jamuan makan serta sesi ramah mesra bersama Ahli Jawatankuasa Masjid Abu Hassan Ar Raudhah dan komuniti Kampung Lok Batik.
Pelaksanaan program ini bertujuan memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat pembinaan masyarakat yang aman, bersatu padu, berakhlak dan prihatin terhadap aspek keselamatan serta kesejahteraan komuniti. Pada masa yang sama, program ini menjadi wadah untuk mempererat hubungan antara PDRM dengan masyarakat melalui pendekatan kepolisan berorientasikan komuniti.
Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada.