25/02/2026
MAJLIS BERBUKA PUASA IPD TUARAN BERSAMA KETUA JABATAN PENCEGAHAN JENAYAH DAN KESELAMATAN KOMUNITI KONTINJEN SABAH
TUARAN, 24 Februari 2025 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama YDH SAC Datuk Mohd. Azhar bin Hamin, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Kontinjen Sabah, dalam suasana penuh harmoni dan penghayatan Ramadan.
Majlis yang berlangsung di Dewan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Surau Al-Jannah IPD Tuaran ini turut dihadiri oleh isteri beliau, YBhg Datin Wan Huraini Bt Osman, Ketua Biro Pendidikan PERKEP Kontinjen Sabah.
Turut hadir, YDH SUPT Noraidin bin Ag. Maidin, Ketua Polis Daerah Tuaran bersama pegawai kanan, anggota PDRM, kakitangan awam, ahli PERKEP serta ahli keluarga warga IPD Tuaran.
Antara pengisian utama majlis adalah penyampaian sumbangan kepada golongan asnaf dan balu warga PDRM sebagai simbol keprihatinan serta tanggungjawab sosial dalam membantu golongan yang memerlukan.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan sebelum para hadirin berbuka puasa dan menunaikan solat Maghrib, Isyak serta Solat Sunat Tarawih secara berjemaah, diikuti dengan jamuan moreh.
Penganjuran majlis ini bukan sahaja menyemarakkan bulan Ramadan, malah menjadi platform dalam memperkukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kebersamaan serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan warga PDRM.
Majlis berakhir sekitar jam 9.00 malam dalam suasana penuh tertib dan bermakna.