15/08/2026
KENYATAAN MEDIA
PENUTUPAN SEMENTARA MARINA LABUAN BAGI KERJA-KERJA PEMBAIKAN DAN PENAMBAHBAIKAN
LABUAN, 12 Ogos 2026 – Perbadanan Labuan (PL) mengambil maklum keadaan semasa Marina Labuan serta segala kebimbangan dan maklum balas yang diterima daripada komuniti pelayaran, pengguna marina dan pihak berkepentingan.
PL ingin memohon maaf atas segala kesulitan dan ketidakselesaan yang dialami oleh para pengguna, khususnya komuniti kapal layar (yachtsmen) dan pelawat yang menjadikan Labuan sebagai pelabuhan persinggahan dan destinasi hentian dalam perjalanan mereka.
Sehubungan dengan keadaan semasa, Marina Labuan akan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan, penilaian keselamatan serta penambahbaikan kemudahan dilaksanakan. Langkah ini adalah perlu bagi memastikan kemudahan marina dapat disediakan dalam keadaan yang lebih selamat, teratur dan kondusif untuk kegunaan para pengguna.
Buat sementara waktu, bagi tujuan menurunkan dan mengambil penumpang atau pelawat, pengguna kapal layar dinasihatkan untuk menggunakan kemudahan yang bersesuaian di Terminal Feri Antarabangsa Labuan (TFAL), tertakluk kepada prosedur serta keperluan operasi dan keselamatan yang berkuat kuasa.
Pada masa yang sama, Perbadanan Labuan sedang memuktamadkan proses bagi pengoperasian baharu Marina Labuan, yang merangkumi penambahbaikan aspek pengurusan, penyelenggaraan, kemudahan serta tahap penyampaian perkhidmatan secara keseluruhan.
PL mengiktiraf kepentingan Marina Labuan sebagai salah satu kemudahan strategik yang menyokong sektor pelancongan marin, komuniti pelayaran serta kedudukan Labuan sebagai destinasi persinggahan pilihan bagi kapal layar di rantau ini. Justeru, usaha yang sedang dilaksanakan bukan sahaja bertujuan menangani keadaan semasa marina, malah untuk mewujudkan model pengoperasian yang lebih mampan serta meningkatkan kualiti kemudahan dan pengalaman pengguna pada masa hadapan.
Maklumat lanjut berhubung tempoh penutupan sementara, perkembangan kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan serta pembukaan semula Marina Labuan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa melalui saluran rasmi Perbadanan Labuan.
PL amat menghargai kesabaran, kefahaman dan kerjasama semua pengguna serta pihak berkepentingan sepanjang tempoh ini.
PERBADANAN LABUAN
12 Ogos 2026