10/08/2026
10 Ogos 2026 – Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) dengan kerjasama Jabatan PERHILITAN Negeri Terengganu dan Urusetia Penerangan Darul Iman serta dengan sokongan Panthera Malaysia telah menganjurkan Sambutan Hari Renjer Sedunia Tahun 2026 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.
Sambutan ini telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar, Menteri Besar Terengganu diiringi oleh YB Dato’ Haji Mohd Azmi bin Mohamad Daham, Setiausaha Kerajaan Terengganu merangkap Pengerusi MPTN; YB Tuan Mohd Nawawi bin Ismail, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu; YB Dato’ Haji Rosli bin Latif, Pegawai Kewangan Negeri Terengganu; serta YM Dato’ Tengku Mohd Arifin bin Tengku A. Rahman, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu yang turut menjalankan tugas sebagai Pengarah MPTN.
Sambutan yang memasuki tahun kedua penganjurannya di peringkat negeri ini bertujuan untuk menghargai jasa, pengorbanan dan keberanian para renjer, penguatkuasa serta petugas konservasi yang menjadi benteng hadapan dalam melindungi biodiversiti, habitat semula jadi dan khazanah alam Negeri Terengganu. Dengan tema “Rangers: Guardians of a Changing Planet”, sambutan pada tahun ini amat bertepatan dengan cabaran semasa yang menuntut para renjer dan penguatkuasa untuk terus cekap, berdaya tahan dan bersedia menghadapi pelbagai ancaman terhadap alam semula jadi termasuk pemburuan haram, pencerobohan kawasan perlindungan dan perubahan iklim.
Dalam ucapan perasmiannya, YAB Menteri Besar Terengganu menyifatkan para renjer sebagai antara “wira yang tidak didendang” (unsung heroes) dalam usaha memelihara khazanah alam dan biodiversiti di Negari Terengganu. Beliau turut menyeru agar seluruh warga renjer terus berkhidmat dengan penuh integriti, keberanian dan dedikasi, di samping menegaskan bahawa usaha memelihara alam semula jadi merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama kerajaan, agensi penguatkuasaan, NGO, komuniti setempat dan seluruh masyarakat.
Kemuncak sambutan pada tahun ini turut menyaksikan pelancaran Logo Rasmi Kenyir Rangers serta peluncuran Buku Pelan Strategik Kenyir Rangers 2026–2030. Pelancaran logo rasmi tersebut melambangkan identiti baharu, semangat kebersamaan dan komitmen ahli-ahli Kenyir Rangers sebagai pasukan barisan hadapan dalam memelihara khazanah biodiversiti serta menguatkuasakan perlindungan kawasan di Landskap Tasik Kenyir. Manakala Pelan Strategik Kenyir Rangers 2026–2030 p**a menjadi satu langkah penting dalam memperkukuh hala tuju pembangunan pasukan yang dianggotai oleh 16 agensi dan jabatan, melalui perancangan yang lebih sistematik, bersepadu dan mampan.