14/05/2026
CERAMAH PELAN TINDAKAN KECEMASAN PERKUKUH KESEDARAN KESELAMATAN WARGA MBPG
14 Mei 2026, MBPG melalui Bahagian Pentadbiran Am, Jabatan Khidmat Pengurusan telah menganjurkan Ceramah Pelan Tindakan Kecemasan sempena Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMS) MBPG yang berlangsung di Auditorium Dahlia, Aras 3 Menara Aqabah.
Program ini diadakan bagi meningkatkan tahap kesedaran, pengetahuan serta kesiapsiagaan warga kerja dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan di tempat kerja seperti kebakaran, kemalangan, kebocoran bahan berbahaya dan bencana tidak dijangka.
Sepanjang ceramah berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan prosedur tindakan kecemasan yang betul, kepentingan tindak balas pantas serta langkah keselamatan yang perlu dipatuhi bagi memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat dan teratur. Ceramah ini telah disampaikan oleh Tuan Mohd Saiful bin Md. Isa yang berpengalaman luas dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan, pemadaman kebakaran industri, HAZMAT, Confined Space Rescue serta pengurusan tindakan kecemasan.
Penganjuran program ini juga selaras dengan komitmen MBPG dalam memperkukuh budaya kerja selamat dan memastikan pematuhan terhadap Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ISO 45001:2018.
Diharapkan segala ilmu dan perkongsian yang diperoleh dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga kerja dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesiapsiagaan di tempat kerja.