15/08/2026
MDBG TERIMA LAWATAN VERIFIKASI KEMPEN KESIHATAN PERSEKITARAN 2026
BATU GAJAH, 13 Ogos 2026 – Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG) telah menerima Lawatan Verifikasi Pelaksanaan Kempen Kesihatan Persekitaran di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan Tahun 2026 daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Lawatan delegasi JKT, KPKT tersebut telah disambut oleh Yang Dipertua MDBG, Setiausaha MDBG serta Ketua-Ketua Jabatan MDBG.
Lawatan ini bertujuan menilai serta mengesahkan pelaksanaan kempen dan inisiatif berkaitan kesihatan, kebersihan dan pengurusan persekitaran yang dilaksanakan oleh MDBG.
Delegasi turut diberikan penerangan serta dibawa meninjau beberapa inisiatif dan kemudahan berkaitan pengurusan persekitaran, termasuk pendekatan MDBG dalam menangani isu haiwan terbiar yang boleh memberi kesan kepada keselamatan, keselesaan dan kesejahteraan komuniti.
Dalam usaha memperkukuh pengurusan isu tersebut, MDBG sedang merangka metodologi pelaksanaan projek rintis sebagai pendekatan yang lebih tersusun dan sistematik sebelum diperluaskan secara menyeluruh di kawasan pentadbiran MDBG.
Pelaksanaan projek rintis ini diharapkan dapat membantu mengenal pasti pendekatan terbaik serta meningkatkan keberkesanan tindakan dalam menangani isu haiwan terbiar, sekali gus memberi outcome positif kepada komuniti melalui persekitaran yang lebih selamat, bersih, sihat dan kondusif.
MDBG terus komited memperkukuh pengurusan kesihatan dan persekitaran melalui pendekatan yang tersusun, berimpak dan berorientasikan kesejahteraan komuniti, demi mewujudkan persekitaran yang lebih lestari dan berkualiti untuk komuniti setempat.