06/10/2026
- 𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐈𝐍𝐃𝐔𝐒𝐓𝐑𝐈𝐀𝐋 𝐌𝐈𝐍𝐃 (𝐈𝐌 𝐏𝐀𝐇𝐀𝐍𝐆) 𝟐𝟎𝟐𝟔: 𝐌𝐄𝐌𝐁𝐈𝐍𝐀 𝐉𝐀𝐌𝐁𝐀𝐓𝐀𝐍 𝐀𝐍𝐓𝐀𝐑𝐀 𝐏𝐄𝐍𝐃𝐈𝐃𝐈𝐊𝐀𝐍, 𝐈𝐍𝐃𝐔𝐒𝐓𝐑𝐈 𝐃𝐀𝐍 𝐌𝐀𝐒𝐀 𝐃𝐄𝐏𝐀𝐍 𝐏𝐄𝐋𝐀𝐉𝐀𝐑
Kuantan, 5 Oktober 2026 – Susulan sambutan positif pada penganjuran tahun lalu, Program Industrial Mind (IM Pahang) kembali buat kali kedua sebagai platform untuk memberi pendedahan kepada pelajar sekolah mengenai dunia industri, laluan pendidikan tinggi serta peluang kerjaya.
Program ini merupakan inisiatif Program Kampung Angkat Berpotensi Negeri (BN) Pahang di bawah seliaan PKNP dan PahangGO, yang bertujuan memperkasa komuniti setempat melalui pendidikan serta pembangunan generasi muda.
Penganjuran tahun ini melibatkan hampir 1,700 pelajar daripada 12 buah sekolah di sekitar Parlimen Paya Besar, dengan sokongan dan penglibatan 49 syarikat Rakan Industri IM Pahang daripada pelbagai sektor, termasuk pembuatan dan kimia, automotif, logistik, telekomunikasi, utiliti dan tenaga, perbankan, perkhidmatan, hospitaliti serta agensi dan jabatan kerajaan.
Majlis Perasmian Penutupan Program Industrial Mind (IM Pahang) 2026 telah berlangsung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Paya Besar dan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Ir. Haji Mohd. Soffi bin Tan Sri Abd. Razak, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang selaku wakil rasmi YAB Menteri Besar Pahang.
Turut hadir, YB Dato’ Sri Mohd Shahar bin Abdullah, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Paya Besar; Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar, Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang; YH Dato’ Zaliza bin Zulkipli, Datuk Bandar; YH Dato’ Haji Ahmad Zamri bin Md Isa, Pengarah Pendidikan, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang; YH Dato’ Mohd Faizal bin Jaafar, Pegawai Daerah Kuantan; YBhg. Encik Airulamri bin Amran, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP; YBhg. Encik Affandi bin Mohd Isa, Ketua Pegawai Eksekutif PahangGO serta YBhg. Profesor Ts. Dr. Kamal bin Yusoh, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMPSA.
Program Industrial Mind (IM Pahang) 2026 mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Pahang, PKNP dan PahangGO dalam memperkukuh jaringan antara institusi pendidikan dan sektor industri, sekali gus memberi pendedahan kepada generasi muda terhadap realiti dunia pekerjaan.
Terima kasih juga diucapkan kepada Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Paya Besar, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan UMPSA Kampus Paya Besar atas kerjasama dalam menjayakan program ini.