17/09/2026
KUALA LUMPUR, 10 September 2026 β CIDB Holdings Sdn. Bhd. (CIDBH) hari ini memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) bersama Global Construction Certification Centre Sdn. Bhd. (GCCC) di DoubleTree Hilton Kuala Lumpur bagi meneroka kerjasama strategik dalam menyokong pembangunan industri pembinaan Malaysia.
Kerjasama ini memberi tumpuan kepada pematuhan produk pembinaan, pendigitalan, latihan profesional, pembangunan kapasiti serta perkongsian pengetahuan dan kepakaran industri, dengan matlamat mewujudkan pendekatan yang lebih tersusun, cekap dan berkesan dalam memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.
Melalui gabungan kepakaran kedua-dua pihak, CIDBH akan memanfaatkan pengalamannya dalam bidang pensijilan, pengujian, pemeriksaan dan pembangunan kompetensi, manakala GCCC membawa keupayaan dalam pembangunan pensijilan digital berasaskan kecerdasan buatan (AI), sistem penjejakan pintar serta perkhidmatan pengujian, pensijilan dan latihan yang selaras dengan piawaian pembinaan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Holdings, Mohd Azizi bin Ali, berkata kerjasama tersebut diharapkan dapat diterjemahkan kepada inisiatif praktikal dan penyelesaian inovatif yang memberi manfaat secara langsung kepada pemain industri, di samping meningkatkan kualiti, produktiviti dan amalan pematuhan dalam sektor pembinaan.
Kerjasama ini turut menyasarkan peningkatan kesedaran industri terhadap keperluan produk pembinaan, piawaian dan proses pensijilan, selain memperkukuh penggunaan proses digital serta pembangunan kompetensi dalam kalangan pemegang taruh.
Semua aktiviti di bawah kerjasama ini akan dilaksanakan tertakluk kepada undang-undang, peraturan dan kelulusan yang berkuat kuasa, tanpa menjejaskan tanggungjawab pihak berkuasa berkaitan dalam aspek pensijilan dan kawal selia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.cidbholdings.com.my