30/10/2026
Walaupun saya bukan ahli PAS, hanya penyokong sahaja, tetapi saya nak menjawab sindiran Dr Rozaimi yang saya kira ia dimaksudkan kepada TGHH, MP Marang merangkap Presiden PAS. Saya harap Dr Rozaimi membaca jawapan ini, dan saya ucapkan terimakasih kalau ada sesiapa yang dapat menunjukkan status ini kepadanya.
Pertama saya nak ingatkan, mendapat PHD dalam bidang Hadis atau dikultuskan sebagai 'pakar hadis' tidaklah menjadikan seseorang itu cerdik dalam semua perkara terutama dalam memberikan komen soal politik. Betul, bidang ilmu hadis itu luas, tetapi orang yang menguasai ilmu hadis tidak semestinya tahu semua benda.
Jangan bercakap perkara yang kita tidak tahu, dan perbuatan menyindir atau memperlekehkan seorang tua yang alim dalam agama, yang telah menghasilkan kitab tafsir al-Qur-an iaitu Tafsir al-Tibyan, semata-mata kerana berpihak kepada parti kerajaan yang dapat memberikan imbuhan dunia, itu suatu sikap yang cukup hina dan memalukan.
TGHH itu orang tua, umurnya sudah menjangkau 80 tahun, dan beliau ada masalah kesihatan. Bukan beliau yang melantik diri sendiri sebagai Ahli Parlimen, tetapi pengundi di Marang yang telah memilihnya. Semua pengundi tahu beliau sudah tua dan uzur. Kalau TGHH jadi MP Marang, itu bukan salah beliau. Kalau Tuan percaya tua dan sakit itu menjadi satu kesalahan dalam politik, yang harus disalahkan ialah pengundi Marang yang telah memilihnya.
Kita semua akan tua, Tuan. Dan belum tentu kita akan sihat selama-lamanya. Itu semua kerja Tuhan. Jadi, janganlah bercakap besar dan memandang rendah terhadap orang tua yang sakit.
Tuan tidak perlu bersusah hati kononnya kasihan kepada pengundi yang memilih beliau jadi MP, pengundi di Marang seratus kali lebih tahu siapa TGHH kerana beliau bukan baru dipilih jadi MP dalam tiga empat tahun, tetapi TGHH sudah 40 tahun jadi MP Marang, dan sudah 22 tahun jadi Presiden PAS.
Apa yang Tuan tahu tentang TGHH? Apa yang Tuan tahu tentang pengundi di Marang? Apa yang Tuan tahu tentang PAS? Apa yang Tuan tahu tentang politik? Dan, apa yang Tuan tahu tentang urusan sidang parlimen?
Jangan bercakap perkara yang kita tidak tahu. Apatah lagi dengan status Tuan sebagai orang yang alim dalam Agama. kalau Tuan tidak mahu jadi syaitan bisu, tetapi janganlah menjadi syaitan yang terlebih ramah. Politik bukan bidang Tuan. Kalau Tuan terasa galak nak berpolitik, silakan masuk parti yang Tuan sokong, jadi calon dalam pilihanraya boleh lawan calon PAS yang Tuan benci sangat.
TGHH jadi MP kerana dipilih oleh rakyat. TGHH jadi Presiden PAS kerana dilantik oleh perwakilan PAS. Tuan dengan kedudukan dan jawatan Tuan sekarang, bukan dipilih oleh rakyat Perlis. Tuan hanya dilantik. Kalau jawatan yang Tuan sandang sekarang dipertandingkan melalui pemilihan atau pengundian, belum tentu Tuan akan menang.
Seorang Ahli Parlimen (MP) tidak boleh ponteng atau tidak hadir ke persidangan Dewan Rakyat sesuka hati. Kehadiran mereka dikawal oleh peraturan perundangan yang ketat, dan ketidakhadiran tanpa alasan boleh membawa implikasi serius terhadap kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
Di bawah Perkara 52(1) Perlembagaan Persekutuan, jika seorang Ahli Parlimen tidak hadir dalam setiap persidangan Dewan Rakyat selama tempoh enam bulan berturut-turut tanpa kebenaran daripada Dewan, kerusi parlimen mereka boleh diisytiharkan kosong. Ini bermakna mereka akan hilang kelayakan sebagai wakil rakyat serta-merta. Adakah Tuan tahu tentang perkara ini?
Mengikut Peraturan Mesyuarat 91 Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, mana-mana MP yang tidak dapat hadir ke persidangan wajib memaklumkan perkara tersebut secepat mungkin kepada Setiausaha Dewan Rakyat atau Yang Dipertua (Speaker) Dewan Rakyat. Ketidakhadiran mereka akan dicatatkan secara rasmi dalam Penyata Rasmi (Undang) dewan. Alasan yang diterima biasanya melibatkan urusan rasmi kerajaan atau tugasan di luar negara, atau masalah kesihatan atau dimasukkan ke hospital, atau urusan kecemasan peribadi yang munasabah.
Setiap MP dibayar elaun kehadiran sebanyak RM400 sehari bagi setiap sesi persidangan Dewan Rakyat yang mereka hadiri. Jika mereka tidak hadir tanpa sebab atau tiada dalam dewan, mereka tidak akan menerima bayaran elaun tersebut bagi hari berkenaan.
Jangan Tuan ingat seseorang MP boleh ponteng sidang parlimen sesuka hati. Saya percaya, Tuan tidak mengikuti sidang parlimen setiap hari. Kalau pun Tuan hanya menonton melalui video, itu tidak menyeluruh, dan video tidak menyatakan siapa MP yang hadir siapa yang tidak hadir. Kamera hanya fokus kepada MP yang sedang berucap sahaja. Jadi, dari mana Tuan dapat tahu orang yang dimaksudkan itu selalu ponteng sidang parlimen sesuka hati? Tuan dapat maklumat dari siapa? Dari pencacai-pencacai parti yang Tuan sokong? Itu sikap yang tidak sepatutnya bagi seorang agamawan seperti Tuan.
Sekian. Assalamu'alaikum.
Credit kepada penulisan
FB Mat Yasin