23/05/2026
KANOWIT, 23 Mei 2026 – Kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dan amalan gaya hidup sihat terus diperkasa menerusi penganjuran Program Kesihatan dan Kecergasan (Senamrobik & Brisk Walk 3KM) sempena Kanowit Cultural Festival 1.0 yang berlangsung di Kompleks Sukan Daerah Kanowit, hari ini.
Program tersebut telah dirasmikan oleh Anyi Jana yang menegaskan bahawa kesihatan merupakan aset paling penting dalam kehidupan dan perlu diberi perhatian serius oleh semua lapisan masyarakat.
Dalam ucapannya, beliau berkata peningkatan penyakit seperti diabetes, darah tinggi, obesiti dan penyakit jantung ketika ini amat membimbangkan kerana ia berkait rapat dengan gaya hidup kurang aktif dan pemakanan tidak sihat. Beliau turut memetik laporan NHMS 2023 yang menunjukkan hampir satu daripada tiga rakyat Malaysia tidak aktif secara fizikal.
Beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap jangka hayat penduduk Kanowit yang dilaporkan antara terendah di Malaysia, sekali gus menyeru masyarakat supaya lebih mengutamakan amalan gaya hidup sihat melalui aktiviti fizikal secara konsisten.
Menurut beliau, aktiviti seperti berjalan kaki, senamrobik, berkebun dan berbasikal santai merupakan amalan mudah yang mampu membantu masyarakat kekal sihat dan cergas tanpa mengira usia.
Mengakhiri ucapan, beliau turut mengingatkan masyarakat agar meraikan sambutan Hari Gawai secara sederhana, bertanggungjawab dan sentiasa mengutamakan keselamatan.