11/08/2026
PEMBANGKANG KUAT BERMAIN ISU, BILA DIBERI RUANG MEMBAHAS MEREKA KELUAR DEWAN
Tindakan blok pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat ketika Sidang Khas membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji hari ini menimbulkan satu persoalan yang sangat mudah:
Pembangkang sebenarnya mahu mencari kebenaran, atau sekadar mahu mencari isu?
Selama ini, isu Tabung Haji dijadikan modal politik. Ketua Pembangkang sendiri sebelum ini mempersoalkan pendedahan laporan RCI dan mendakwa ia mungkin mempunyai motif politik.
Kerajaan kemudian mengambil langkah yang sepatutnya dilakukan oleh sebuah kerajaan yang berani bertanggungjawab iaitu laporan RCI dinyahklasifikasi dan didedahkan kepada rakyat, siasatan pihak berkuasa diarahkan diteruskan, malah satu Sidang Khas Parlimen diadakan khusus supaya laporan tersebut boleh diteliti dan dibahaskan secara terbuka.
Tetapi apabila tiba masanya untuk berdepan dengan fakta dan berbahas di dalam Dewan Rakyat, pembangkang memilih untuk keluar.
Alasan mereka adalah kerana Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak hadir, sedangkan beliau sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani prosedur pembedahan. Permohonan pembangkang supaya sidang ditangguhkan telah diputuskan oleh Speaker, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan perbahasan.
Ini bukan soal Anwar Ibrahim. Ini soal Tabung Haji.
Ini soal wang pendeposit.
Ini soal amanah umat Islam.
Ini soal tadbir urus sebuah institusi penting negara.
Malah laporan RCI sendiri mengandungi isu serius yang sewajarnya dibahaskan, termasuk kelemahan tadbir urus, keperluan rombakan Akta Tabung Haji serta cadangan audit forensik terhadap pelaburan tertentu.
Kalau benar mahu mempertahankan Tabung Haji, inilah masanya untuk duduk dalam Dewan, bentangkan hujah, soal kerajaan dan lawan dengan fakta.
Bukan keluar Dewan.
Rakyat boleh menilai perbezaannya.
Di luar Dewan, lantang menuntut jawapan.
Di dalam Dewan, apabila ruang membahas dibuka malah memilih untuk berjalan keluar.
Politik tidak seharusnya hanya tentang mencipta persepsi. Pembangkang juga mempunyai tanggungjawab kepada rakyat yang memilih mereka untuk hadir, menyemak kerajaan dan berbahas apabila isu sebesar amanah Tabung Haji dibawa ke Parlimen.
Jangan hanya berani memainkan isu. Beranilah berdepan dengan fakta.
AKHMAR SARI MOHD NAZRI
Ketua Penerangan
KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak
11 Ogos 2026