15/09/2026
EKSTRADISI: KERAJAAN PERLU PERJELAS KEDUDUKAN UNDANG-UNDANG, HINDARI DR. ZAKIR NAIK JADI KORBAN POLITIK
PAS merujuk kepada laporan mengenai kenyataan Perdana Menteri YAB. Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa isu berkait ekstradisi pendakwah terkenal Dr. Zakir Naik telah dibincangkan dalam pertemuan terbarunya dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di New Delhi.
Paling penting, kenyataan itu turut menyebut bahawa isu berkenaan merupakan sebahagian daripada agenda keutamaan ke arah membina kepercayaan dan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan India, namun pada masa sama isu tersebut perlu ditangani dengan berhati-hati, sekali gus menghormati undang-undang.
Berdasarkan perkembangan ini, PAS menggesa kerajaan supaya menjelaskan kepada awam berhubung status perundangan dan diplomatik sebenar permohonan ekstradisi yang dimaksudkan dan apakah isu sebenar yang dibincangkan serta apakah persefahaman yang dicapai dalam pertemuan itu. Penjelasan juga perlu diberikan sama ada keterangan dan dokumentasi bagi menyokong permohonan pihak India kepada Malaysia telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh undang-undang Malaysia untuk ekstradisi.
PAS juga menuntut kerajaan menjelaskan apakah Malaysia telah membuat apa-apa komitmen politik, sama ada eksplisit atau sebaliknya, berkait ekstradisi pendakwah antarabangsa berkenaan yang kini merupakan Pemastautin Tetap di negara ini sejak 2012 dan disahkan secara rasmi oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu pada April 2017.
PAS menyedari Malaysia dan India mempunyai hubungan dua hala sejak sekian lama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan, teknologi dan beberapa bidang strategik lain, namun hubungan dua hala yang baik tidak boleh mengatasi syarat dan ketetapan undang-undang negara yang mengawal proses dan perjalanan ekstradisi. Malaysia seharusnya memberi pertimbangan wajar kepada apa-apa permohonan ekstradisi yang sah daripada mana-mana negara asing selaras dengan proses undang-undang, bukan transaksi atau tawar menawar politik.
Justeru PAS merakamkan kebimbangan serius tentang kemungkinan Dr. Zakir Naik menjadi korban politik atau konsesi diplomatik dalam usaha Malaysia membuktikan persahabatan atau memenangi kepercayaan India sekiranya isu-isu berkait undang-undang di atas tidak dipatuhi dan prinsip-prinsipnya dihormati sebagaimana sepatutnya.
Kes ini bukanlah semata-mata mengenai hubungan antara Malaysia dan India, sebaliknya ia juga adalah ujian sama ada Malaysia akan mempertahankan prinsip dan ketetapan undang-undang sendiri ketika berhadapan dengan tekanan atau laba diplomatik. Hubungan baik dengan mana-mana negara adalah penting, namun kedaulatan negara dan integriti sistem keadilannya lebih penting dan mesti dipertahankan. Satu tidak boleh dikorbankan untuk kepentingan yang lain.
Terima kasih.
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS.
Bertarikh: 15 September 2026.