02/08/2026
Alhamdulillah, segala puji dan syukur saya panjatkan ke hadrat Allah swt atas kemenangan yang dikurniakan kepada Barisan Nasional di Negeri Sembilan.
Setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan kepada seluruh calon Barisan Nasional yang telah diberi amanah oleh rakyat, khususnya kepada calon-calon Wanita Barisan Nasional yang telah menunjukkan ketabahan, keberanian dan semangat juang yang luar biasa sepanjang pilihan raya ini.
Saya amat berbangga dengan kejayaan YB S. Leza Md Yasin, ADUN Pilah, dan YB Siti Nur Umaira Hasim, ADUN Labu. Kemenangan ini bukan sekadar kemenangan peribadi, tetapi lambang keyakinan rakyat terhadap kemampuan wanita untuk memimpin, berkhidmat dan membawa suara masyarakat ke medan perjuangan yang lebih besar. Semoga amanah yang diberikan ini dapat dilaksanakan dengan penuh integriti dan kasih sayang kepada rakyat.
Kemenangan ini juga adalah hasil pengorbanan ribuan insan yang bekerja tanpa mengenal penat lelah. Buat seluruh jentera parti, para sukarelawan dan petugas di setiap peringkat, jutaan terima kasih kerana mengorbankan masa, tenaga dan jiwa sepanjang tempoh berkempen. Saya sendiri menyaksikan bagaimana kalian berpanas, berhujan, mengetuk setiap pintu rumah dan menyantuni setiap pengundi dengan penuh keikhlasan.
Ucapan penghargaan yang tidak terhingga turut saya tujukan kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan yang telah memberikan kepercayaan dan mandat kepada Barisan Nasional. Insya-Allah, amanah ini akan kami pikul dengan penuh rasa tanggungjawab. Kepercayaan yang diberikan bukan sekadar satu kemenangan, tetapi satu janji untuk terus bekerja lebih kuat, mendengar denyut nadi rakyat dan memastikan setiap dasar yang dilaksanakan benar-benar membawa manfaat kepada semua.