05/04/2026
PROGRAM MYLESEN DUN TAMIN CETUS IMPAK BESAR, 595 PESERTA BERJAYA DAFTAR LESEN MOTOSIKAL B2
SELANGAU, 4 April 2026 (Sabtu) – Inisiatif Program MyLesen DUN Tamin terus membuktikan keberkesanannya apabila berjaya menarik penyertaan seramai 595 peserta, melibatkan golongan belia seawal usia 16 tahun ke atas serta golongan dewasa, dalam usaha mendapatkan Lesen Motosikal Kelas B2 secara sah.
Program ini dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Pusat Khidmat DUN Tamin, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bahagian Sibu dan Institut Memandu Ngu Chung Beng Sibu, sekali gus memperlihatkan sinergi kukuh antara agensi kerajaan dan pihak berkaitan dalam menyampaikan perkhidmatan terus kepada rakyat.
Majlis pelancaran pendaftaran telah disempurnakan secara bersama oleh wakil agensi terlibat, antaranya Tuan Jelapin Anak Entalai, Ketua Cawangan JPJ Bahagian Sibu, SAO Chua Siong Wei yang mewakili Pejabat Daerah Selangau,Kr. Nyireng Saleh, Kr. Ajan Dau dan En. Alok Meliau mewakili Pusat Khidmat DUN N.59 Tamin manakala En. Shau Sing Yang dan Encik Daglish Anak Charles Ambing mewakili Institut Memandu Ngu Chung Beng, yang memainkan peranan penting dalam penyelarasan serta pelaksanaan program secara menyeluruh di peringkat lapangan.
Di bawah kepimpinan YB Ir. Christopher Gira Sambang, ADUN Tamin, program ini digerakkan sebagai satu pendekatan proaktif dalam memastikan rakyat tidak tercicir daripada peluang memiliki lesen memandu yang sah.
Menurut YB Ir. Christopher Gira Sambang, program seumpama ini akan terus diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan lebih ramai rakyat di kawasan DUN Tamin mendapat manfaat secara langsung.
“Sambutan yang amat menggalakkan ini menunjukkan keperluan sebenar rakyat. Kita akan terus bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi memperluas pelaksanaan program seperti ini agar lebih ramai penduduk berpeluang memiliki lesen memandu secara sah,” jelas beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa pemilikan lesen bukan sahaja penting dari sudut pematuhan undang-undang, malah turut memberi kelebihan dalam meningkatkan mobiliti serta peluang pekerjaan.
Selain memudahkan urusan mendapatkan lesen, program ini turut memberi penekanan kepada aspek keselamatan jalan raya, pematuhan undang-undang serta pembentukan sikap bertanggungjawab dalam kalangan pengguna jalan raya.
Berikutan sambutan yang amat memberangsangkan ini, pendaftaran bagi Program MyLesen Batch Kedua masih diteruskan, dan orang ramai disaran untuk segera mengambil peluang sebelum tarikh tutup penyertaan diumumkan.
Inisiatif ini sekali lagi menegaskan komitmen berterusan kepimpinan YB ADUN Tamin dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara melalui pelaksanaan program berimpak tinggi.