13/08/2026
SABAH, 12 Ogos 2026 - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Planetarium Negara dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah telah menganjurkan Program Astropiknik: Juraian Meteor Perseids 2026 di Tegudon Tourism Village (TTV), Kota Belud. Inisiatif ini menjadi platform strategik bagi memperkukuh pembudayaan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI), pemerkasaan Pendidikan STEM, serta memupuk kesedaran astronomi dalam kalangan masyarakat menerusi pendekatan pembelajaran luar bilik darjah yang santai dan interaktif.
Program dua hari yang mengumpulkan seramai 400 pelajar ini bertujuan melahirkan generasi pelapis STEM menerusi pengalaman pencerapan terus yang meningkatkan literasi sains. Para peserta disajikan dengan sesi pencerapan berpandu kemuncak Juraian Meteor Perseids yang dijangka mencecah sehingga 100 meteor sejam di kawasan Dark Sky Kota Belud, selain aktiviti pengiraan meteor.
Antara pengisian menarik lain termasuklah aktiviti astrofotografi Bima Sakti (Milky Way), pencerapan Matahari menggunakan teleskop, tayangan Mini Planetarium, pameran STEM, dan persembahan sains interaktif.
Penganjuran ini mencerminkan komitmen MOSTI dan Planetarium Negara dalam mempop**arkan sains angkasa, sekali gus mengangkat potensi khazanah alam langit gelap Sabah bagi menyemarakkan bidang astronomi negara.
YBhg. Datuk Hassan bin Mahali, Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) hadir menyempurnakan program Astropiknik di Tegudon Tourism Village, Kota Belud Sabah. Turut hadir bersama YBhg Prof. Madya. Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah serta YBrs. Encik Mohd Zamri Shah Mastor, Pengarah Planetarium Negara.