01/08/2026
TANGGUNGJAWAB GENERASI KINI BUKAN SEKADAR UNTUK MENURUNKAN ILMU PENGETAHUAN, TETAPI JUGA MEMBENTUK SAHSIAH GENERASI MUDA - RAJA PERMAISURI AGONG
Tanggungjawab paling utama sebuah masyarakat bukan sekadar untuk menyampaikan ilmu pengetahuan kepada generasi muda, tetapi juga untuk membentuk sahsiah mereka.
KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah memetik Allahyarham Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas, bahawa tujuan pendidikan bukan sekadar untuk membentuk individu yang berpengetahuan dan boleh bekerja, tetapi juga melahirkan insan bernilai murni.
“Prinsip ini amatlah relevan pada masa kini. Kemajuan dalam mana-mana masyarakat bukan dicapai dengan kejayaan intelek semata-mata, tetapi dengan empati, belas ihsan dan rasa ambil berat yang mendalam demi kesejahteraan semua.
“Saya percaya pendidikan bukan sahaja mengembangkan ilmu pengetahuan, tetapi juga membuka hati untuk memahami perspektif serta pendapat yang berbeza dan mengingatkan kita tentang kemanusiaan bersama,” titah Seri Paduka Baginda.
Raja Zarith Sofiah bertitah demikian selepas berkenan menerima penganugerahan Ijazah Kehormat Kedoktoran Psikologi daripada University of Reading dalam satu istiadat di Johor Bahru, hari ini (1 Ogos).
Titah Raja Permaisuri Agong lagi, dalam perkembangan teknologi yang semakin mengubah cara hidup seluruh dunia, universiti memainkan peranan penting bukan sahaja untuk menyampaikan ilmu dan latihan teknikal, tetapi juga memupuk perwatakan dan nilai murni.
“Pendidikan mesti memberi inspirasi untuk kita mencari satu perjuangan dan kita mesti menyumbang apa yang telah kita pelajari ke arah kesejahteraan kemanusiaan sejagat.
“Inilah sebabnya pengetahuan bidang psikologi amat relevan hari ini kerana ia mengingatkan kita akan kepentingan memahami tingkah laku manusia, motivasi, daya tahan serta perbubungan dalam membina masyarakat yang lebih kukuh dan harmoni,” titah Seri Paduka Baginda.