05/10/2026
𝐏𝐑𝐎𝐆𝐑𝐀𝐌 𝐌𝐄𝐍𝐘𝐀𝐍𝐓𝐔𝐍𝐈 𝐌𝐀𝐒𝐘𝐀𝐑𝐀𝐊𝐀𝐓 𝐂𝐒𝐑 𝐉𝐇𝐄𝐊𝐒 𝐏𝐄𝐑𝐀𝐊 𝟐𝟎𝟐𝟔
📍 𝐏𝐚𝐯𝐢𝐥𝐢𝐨𝐧 𝐙𝐨𝐨 𝐓𝐚𝐢𝐩𝐢𝐧𝐠 & 𝐍𝐢𝐠𝐡𝐭 𝐒𝐚𝐟𝐚𝐫𝐢 | 𝟑 𝐎𝐤𝐭𝐨𝐛𝐞𝐫 𝟐𝟎𝟐𝟔 (𝐒𝐚𝐛𝐭𝐮)
Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Negeri Perak telah menganjurkan Program Menyantuni Masyarakat CSR JHEKS Perak 2026 yang berlangsung di Pavilion Zoo, Zoo Taiping & Night Safari.
Program ini telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Haji Azman bin Mohd Yusof, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), yang turut bersama-sama menyantuni masyarakat dan menyampaikan amanat berkaitan peranan kesatuan sekerja dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Membawa semangat kebersamaan dan keprihatinan, program ini menjadi wadah untuk JHEKS bersama kesatuan sekerja serta rakan strategik turun padang mendekati masyarakat dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti setempat.
Pelbagai aktiviti telah disediakan melibatkan aspek kesihatan, kebajikan, riadah, pendidikan dan khidmat masyarakat, antaranya Ziarah Prihatin, Larian Fun Run 5km, Senamrobik, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Kempen Derma Darah, Perkhidmatan Kaunseling “Healing Corner”, Pameran Jabatan Kerajaan, Pertandingan Mewarna, Jualan Rahmah, Tukar Minyak Hitam Percuma, Gunting Rambut Percuma, Jualan Amal dan Cabutan Bertuah.
Program turut memberi perhatian kepada golongan yang memerlukan menerusi penyampaian Sumbangan Bakul Rahmah, selain penglibatan anak-anak OKU dan anak-anak yatim bagi memastikan mereka turut merasai kemeriahan serta manfaat program.
Dalam amanatnya, YBhg. Datuk KSU turut menekankan kepentingan kesatuan sekerja untuk sentiasa bersedia menghadapi perubahan dunia pekerjaan yang dipengaruhi oleh teknologi, pendigitalan dan keperluan kemahiran baharu. Kesatuan sekerja juga perlu terus memainkan peranan dalam melindungi hak dan kebajikan pekerja serta membantu mewujudkan hubungan perusahaan yang harmoni.
Penganjuran program ini turut menjadi ruang untuk memperkukuh jalinan kerjasama antara KESUMA, JHEKS, kesatuan sekerja, agensi kerajaan, pihak swasta, sukarelawan dan komuniti setempat dalam melaksanakan inisiatif yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada seluruh urus setia, rakan strategik, agensi kerajaan, pihak swasta, kesatuan sekerja, sukarelawan serta semua pihak yang telah bersama-sama menjayakan program ini. Tidak dilupakan, terima kasih juga kepada orang awam yang hadir dan meluangkan masa untuk bersama-sama memeriahkan program, sekali gus menjadikan Program Menyantuni Masyarakat CSR JHEKS Perak 2026 lebih bermakna dan meriah.
Sesungguhnya, kejayaan program ini adalah hasil daripada kerjasama, sokongan dan komitmen semua pihak. Semoga usaha yang dilaksanakan dapat terus memberi manfaat kepada masyarakat serta menyemarakkan semangat kebersamaan dalam komuniti. 🤝